Seumur hidup, aku tak pernah cakap "Saya rindu ibu" atau ayat-ayat yang sewaktu dengannya jadi dia mungkin ingat aku ni jenis anak yang tak suka tunjukkan perasaan.
Mungkin bagi orang dewasa, aku budak yang macam tu. Jarang bercakap dan jarang tunjuk emosi. Membesar dengan senyap dan hidup dengan biasa-biasa je. Biasanya aku pendam je perasaan aku. Selalu tunjuk muka tak peduli, berdiri satu sudut dan pandang sekeliling.
Adakalanya ibu menangis bila tengok drama sedih. Masa tu aku akan gelakkan dia. Ibu cuma mengeluh je bila aku buat camtu. "Budak ni..." Orang kata, "Anak lelaki memang tak rapat dengan mak."
Seingat aku, aku memang jarang berada kat sisi ibu. Aku jarang berborak dengan dia atau dengar masalah dia. Malah aku buat endah tak endah je bila dia beritahu aku dia tak berapa sihat.
Bila dia beritahu keadaannya mungkin akan bertambah buruk.
Pada tahun tu, ibu menderita kerana penyakit kanser. Aku berada di dalam darjah 5, sekolah rendah. Aku tak tahu apa itu kanser.
Aku melawat dia sekali je kat hospital - hari sebelum pembedahan dia. Dia duduk kat katil - buat pertama kali, aku nampak keadaan ibu begitu lemah dan sakit. Bila dia pusing, dia nampak aku. Dengan cepat aku lari pada dia dan peluk dia kuat-kuat.
Sepanjang masa tu, aku tak tahu betapa menderitanya ibu dan aku tak tahu betapa dia menangis kerana aku. Kerana anak yang dingin dan tak sensitif macam aku ni.
Lepas beberapa bulan bertarung dengan penyakitnya, ibu memenangi perlawanan itu. Ibu pulang ke rumah. Pulang pada aku.
Ramai orang kata, anak adalah seperti anak burung. Bila sayap mereka sudah cukup kuat, mereka akan terbang meninggalkan rumah.
Dulu aku benci bila ibu tanya tentang keadaan aku sebab aku rasa aku dah cukup besar untuk jaga diri sendiri. Aku tak perlu dengar lagi nasihat dan pendapat dia. Aku selalu bergaduh dengan dia, menyebabkan ibu selalu bersedih sebab aku rasa pandangan ibu tu salah. Aku rasa ibu sangat ketinggalan zaman. Masa tu aku rasa aku dah cukup matang.
Beberapa tahun lepas, aku tinggalkan rumah, tinggalkan ibu. Aku cuba berdikari, mulakan hidup baru.
Setiap malam lepas balik kerja, bila aku balik ke bilik sewa aku, aku rasa kosong dan sunyi. Takde orang nak sambut aku. Seorang diri aku masak, makan, menulis dan adakalanya bercakap dengan diri sendiri.
Aku selalu ingat masa aku duduk dengan keluarga dulu. Setiap hari lepas sekolah, makanan dah tersedia kat ruang makan. Ibu pasti menanti aku di pintu. Bila aku kejar deadline untuk komik, aku akan lari pulang ke rumah dari perpustakaan dengan manuskrip kat tangan. Dengan penuh semangat aku tanya ibu, "Cuba teka berapa muka surat saya siapkan hari ni?" Ibu adalah sumber motivasi aku. Aku nak dia bangga dengan aku, jadi aku sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik.
Pada malam musim sejuk, bla suhu menjadi semakin dingin, ibu akan sediakan selimut dan tilam tebal untuk aku. Lepas aku tinggalkan rumah, setiap kali aku sakit, aku mesti teringat ibu. Sebab setiap kali aku sakit masa aku kecik dulu, ibu pasti berada kat sisi aku. Hilang rasa bimbang aku bila nampak dia.
Aku sentiasa ingat zaman kecil aku. Ibu bagaikan payung yang besar. Dia akan lindungi aku dari hujan panas. Setiap kali aku buat masalah, aku akan sorok di belakang ibu. Aku akan tarik bajunya dan dia akan selesaikan masalah tu untuk aku. Bila aku dewasa, setiap kali aku berdepan dengan masalah, aku masih terus memikirkan dia. Dalam hati, aku akan bertanya, "Ibu, apa patut aku buat?" "Ibu, tolong saya!"
Tapi hal ni takde orang yang tahu kecuali aku.
Banyak kali aku nak telefon dia tapi aku beritahu diri sendiri, tabahlah!
Sejak kecik lagi, aku jenis yang tak mudah menangis. Aku tak nak orang tau kesedihan dan kepedihan yang aku rasa. Walaupun aku rindu seseorang... orang yang aku sayang... aku pendam perasaan aku termasuk rasa kasih aku pada ibu.. Sebab tu ramai orang anggap aku anak yang dingin dan tak sensitif.
Ibu, sebenarnya saya silap.
Saya sangka dengan berpura-pura tak peduli dan dengan memendam emosi yang saya rasakan, saya dapat sorokkan kelemahan dan menjadi lebih kuat.
Ibu, saya sebenarnya tak kuat langsung.
Tak siapa tahu bila aku tengok cerita sedih kat TV, aku sorok dalam bilik air dan menangis lepas tu. Tak siapa tahu berhari-hari aku meratapi kematian burung, anak anjing dan anak kucing yang pernah aku bela.
Tak siapa tahu pada malam aku tinggalkan rumah, aku menangis dalam tren. Bila aku ingat je pada ibu, air mata aku mengalir tanpa dapat ditahan. Aku menangis sebab aku akan tinggalkan ibu, dan bila tren tu bawa aku semakin jauh darinya. Aku menangis bersungai-sungai. Aku tak sanggup bayangkan kesunyian yang ibu rasa sepanjang 7 tahun aku tinggalkan rumah. Aku tak sanggup bayangkan wajah sedih ibu sebab aku tahu, air mata aku akan mengalir lagi.
Jadi pada hari aku bertolak, aku tak benarkan dia hantar aku ke stesen.
Ibu, walaupun saya seorang lelaki, saya juga sebenarnya seorang yang sensitif dan penuh emosi. Maaf sebab saya tak pernah tunjukkan pada ibu.
Ibu kawan baik aku, Z, meninggal dunia dua tahun lepas.
Di majlis pengebumian tu, aku tak dapat menahan diri dari menangis. Aku nampak Z asyik pandang langit supaya air mata yang bergenang di kelopak matanya takkan mengalir. Dari belakang dia nampak tabah tapi sebenarnya dia paksa diri untuk jadi kuat. Di bawah langit musim sejuk yang cerah tu, dia nampak keseorangan.
Lagi seorang kawan baik aku, H pun kehilangan ibunya tak lama dulu. Ibunya ceria dan ramah tinggalkan kami begitu saja. Begitu tiba-tiba. Tanpa amaran, tanpa sebarang tanda. Buat kami rasa sedih dan menyesal.
Ketika itulah aku sedar, kami membesar dengan begitu cepat. Seseorang pernah kata, bila kita dewasa, ketika itulah ramai orang akan tinggalkan kita. Jadi di akhirnya, kita semua akan keseorangan. Sama seperti keadaan kita masa lahir dulu.
Hidup kita berpusing macam roda - kita terpaksa lepaskan banyak benda. Tidak semua benda dapat kita bawa sekali semasa roda berpusing laju. Mungkin apa yang boleh kita pegang hanyalah masa sekarang. Saat ini.
Sekurang-kurangnya pada detik ini, kita rasa gembira. Sekurang-kurangnya pada detik ini, kita dapat mengecapi kebahagiaan.
Kita mesti cukup berani untuk mencintai dan dicintai. Jadi kita takkan hidup dalam penyesalan.
Ibu, akhirnya saya faham maksud "kuat" yang sebenar. Erti kekuatan ialah memiliki keberanian untuk menunjukkan perasaan kita yang sebenar. Erti kekuatan ialah memiliki kebolehan untuk menyayangi orang yang kita sayangi.
Ibu, ibu adalah yang paling kuat. Demi membesarkan saya, ibu sanggup berkorban apa saja.
Demi saya, ibu tanggung sejuta kerisauan.
Kasih ibu, sampai bila-bila pun saya dapat rasa. Dari kecil hinggalah kini.
Ibu, saya akan menjadi seorang yang kuat dan berani. Dan kini saya akan luahkan apa yang terpendam dalam hati saya selama ini.
"Ibu, saya rindu ibu."
"Ibu, saya sayang ibu."
"Ibu, ibu adalah insan yang paling saya kasihi dalam dunia ini."
No comments:
Post a Comment